SEJARAH SEKOLAH


Sekolah Kebangsaan Pengalat Kecil, Papar adalah merupakan sebuah Sekolah Rendah Kerajaan (SRK). Sebelum itu ia dikenali dengan nama Sekolah Sukarela Rakyat (NVS) yang mana bahasa penghantarnya adalah Bahasa Melayu sepenuhnya.

Sekolah ini dibina dalam tahun 1963 hasil dari desakan dan muafakat masyarakat serta para pemimpin setempat. Ianya dibina di atas tanahAllahyarham Tuan Haji Julang dan Allahyarham Tuan Haji Johari Sawal. Mereka ini sanggup menyerahkan tanah mereka dengan ganjaran yang tidak seberapa demi kepentingan masyarakat dan anak-anak yang bakal menuntut di sekolah ini.

Sekolah ini pada mulanya dibangunkan hanya dengan sebuah bangunan yang mempunyai dua bilik darjah dengan berlantaikan tanah, beratap zink dan berdindingkan papan sahaja. Segala kelengkapan yang terdapat di sekolah ini pada masa itu adalah hasil usaha penduduk Kampung Pengalat dan sekitarnya.
Tenaga pengajar yang pertama bertugas di sekolah ini ialah Encik Yahya Yussof yang juga merupakan guru besar pertama bagi sekolah ini. Muridnya pada masa itu hanyalah seramai 38 orang sahaja.
Pada pertengahan tahun 1972, sekolah ini telah diambil alih pentadbirannya oleh Jabatan Pendidikan Sabah dengan nama Sekolah Rendah Kerajaan Pengalat Kecil, Papar. Sekarang, sekolah ini dikenali dengan nama Sekolah Kebangsaan Pengalat Kecil, Papar.

Pada tahun 1975, kerajaan telah membangunkan sebuah bangunan yang mempunyai dua bilik darjah, sebuah pejabat am dan sebuah stor. Bangunan tersebut telah dirasmikan oleh YAB Tan Sri Mohammad Said Keruak selaku Ketua Menteri Sabah pada ketika itu. Pada masa itu, SK. Pengalat Kecil mempunyai 10 buah bilik termasuk 7 buah bilik darjah, sebuah pusat sumber, sebuah bilik guru dan sebuah pejabat am.

Pada tahun 1987, sebuah lagi bangunan telah dibina dengan nama “Projek Terapung” bagi menggantikan bangunan yang musnah dalam sebuah kebakaran yang berlaku dalam tahun yang sama.
Pada penghujung tahun 1991, sebuah tandas baru telah siap dibina. Tandas lama telah diubah suai untuk dijadikan bilik pemulihan dan  bilik muzik pada awal tahun 1993.

Pada pertengahan tahun 1993, bekas tapak rumah guru yang lama yang dijadikan sebagai kelas pemulihan telah digantikan dengan sebuah rumah kembar (Projek Kilat).
Pada penghujung tahun 2003, sebuah bangunan pra-sekolah telah dibina. Ia dilengkapi dengan kemudahan dapur, tandas dan taman permainan kanak-kanak.

Pada bulan Jun 2006, sebuah tandas guru dan kakitangan yang mempunyai 4 unit tandas telah siap dibina.
Menjelang tahun 2009, sebuah makmal komputer yang baru telah selesai pembinaannya. Kini SK. Pengalat Kecil telah menerima kemudahan internet dan bilik akses dari pihak Kementerian Pelajaran Malaysia. Pusat Sumber Sekolah juga telah dilengkapi dengan kemudahan yang sama.

Pada masa sekarang, SK. Pengalat Kecil mempunyai seramai 229 orang murid dan 24 orang tenaga pengajar serta 4 orang kakitangan bukan mengajar.


No comments:

Post a Comment